Tuesday, January 21, 2014

Bagaimana kaedah sifir di jari membantu amalan Pengajaran dan Pembelajaran saya di dalam bilik darjah



Sebelum saya memperkenalkan kaedah sifir di jari kepada murid-murid saya ini, pada kebiasaanya mereka agak pasif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Namun setelah mereka mempelajari kaedah :sifir di jari”, kelihatan mereka agak ceria dan memberi penumpuan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran terutama dalam tajuk fakta asas darab.

            Murid-murid ini begitu teruja untuk menjawab soalan-soalan berkaitan fakta asas darab apabila saya mengadakan sesi kuiz di dalam bilik darjah. Kebanyakan murid mengangkat tangan dan meminta saya memilih mereka untuk menjawab soalan yang saya ajukan. Keadaan ini memberikan respon yang amat baik dalam meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang.

            Pada pendapat saya, keadaan ini berlaku kerana pada mulanya murid berasa kurang yakin dengan diri sendiri kerana tidak dapat menjawab soalan berasaskan darab. Setelah mereka dapat menguasai kaedah fakta asas darab, keadaan mula berubah di mana mereka merasakan bahawa darab merupakan sesuatu yang tidak lagi sukar. Ini membuatkan murid-murid berasa lebih yakin di dalam bilik darjah.

            Untuk membentuk suatu suasana yang aktif, keyakinan diri murid perlu dibentuk terlebih dahulu dan melalui keyakinan inilah murid akan cuba menumpukan perhatian terhadap pembelajaran seterusnya melibatkan diri secara aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment